LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD

PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI

Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar, dengan rasa rendah diri dan penuh kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah S.W.T, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W, Alhamdulillah dengan izin dan limpah rahmatNya jua kita akan menyambut Hari Raya Aidil Fitri, hari kemenangan setelah menunaikan perintah Allah S.W.T setelah menjalani ibadah puasa selama sebulan. 

Kita harus bersyukur kerana dapat menyambut detik kemenangan ini dalam suasana aman damai dilimpahi dengan kemakmuran. Jika dilihat di luar sana masih banyak saudara muslimin muslimah kita yang kurang bernasib baik kerana ketidakstabilan negara. Keamanan dan kemakmukran yang kita kecapi ini adalah berkat doa dan usaha semua pihak, termasuklah pengorbanan seluruh warga dan keluarga ABDB khususnya TLDB yang bertugas tidak mengira waktu dan tempat walaupun berjauhan daripada keluarga dan keselesaan kehidupan harian. 

Di dalam keghairahan kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri ini, janganlah pula kita lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Sebagai tanda syukur, marilah kita hulurkan bantuan atau sumbangan kepada anak-anak yatim, yang kurang upaya dan yang memerlukan, kerana mereka juga adalah merupakan tanggungjawab kita. Di Hari Raya Aidil Fitri ini, rebutlah kesempatan untuk mengiratkan dan mengukuhkan lagi hubungan silaturrahim sesama keluarga dan persahabatan yang terjalin, bertemu dengan sanak saudara serta sahabat handai dan bermaaf-maafan secara ikhlas.

Peramba saya juga ingin mengingatkan kepada semua bagi sama-sama untuk kita saling mengingati dan tidak leka dalam sama-sama menjaga keselamatan dan kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat kerana ianya adalah tanggungjawab bersama. Bagi yang tinggal di dalam perkhemahan mahupun di luar perkhemahan supaya untuk sentiasa menjaga keselamatan kediaman rumah masing-masing. Elakkan daripada terlibat dengan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang. Sambutlah hari kemenangan ini dengan kesederhanaan dan elakkan sebarang pembaziran. 

Akhir kata, peramba saya beserta keluarga ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidil Fitri, Mohon Maaf Zahir dan Batin, kepada seluruh warga dan mantan TLDB semoga hari kemenangan ini dapat kita raikan dengan penuh makna dan sentiasa di dalam keredhaan Allah SWT jua.

 Ramadhan Bakal Beransur Pergi,

Syawal Menjelma Di Aidil Fitri,

Seikhlas Hati Menyusun Jari,

Memohon Dimaafkan Kekhilafan Diri

 Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin, Wassalam.