
LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI

Marhaban Ya Ramadhan, segala puji-pujian dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah S.W.T, selawat serta salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad S.A.W kerana dengan izin dan limpah rahmatNya jua kita diberikan peluang untuk bertemu kembali dengan bulan Ramadhan, bulan yang dipenuhi dengan rahmat dan ganjaran yang berlimpat ganda.
Selaku warga ABDB, kita amat beruntung kerana selain menjalankan tugas seharian, kita juga berkesempatan untuk memanfaatkan nikmat di bulan Ramadhan dengan mengikuti acara-acara keagamaan yang kemas dirancang di surau-surau ABDB ataupun balai ibadat yang berdekatan. Ini adalah bertujuan untuk memberikan peluang dan kemudahan kepada warga ABDB untuk sama-sama melipat gandakan amalan dan meraih keampunan dan keredhaan dari Allah S.W.T jua.
Dari itu, Peramba saya amat mengalu-alukan warga Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) khususnya beserta keluarga untuk sama-sama mengimarahkan surau-surau perkhemahan yang ada. Peramba saya juga mengetahui perkara sama juga bakal dilaksanakan seperti lazimnya di kapal-kapal yang terlibat dengan operasi.
Tidak dinafikan, bertugas sebagai seorang anggota tentera akan sentiasa melalui pelbagai cabaran sama ada secara mental ataupun fizikal. Malahan, akan sentiasa berjauhan dari keluarga kerana mengharungi ombak dan badai demi menjalankan tugasan yang diamanahkan. Walaupun demikian, Peramba saya ingin mengingatkan kepada semua dan tidak terkecuali diri Peramba saya sendiri agar pelaksanaan amal ibadah di bulan ini tidak diambil ringan. Janganlah cabaran di lapangan tugasan atau operasi yang dilaksanakan dijadikan sebagai alasan, selagi ianya tidak mendatangkan kemudaratkan.
Perlu juga diingat takrif ibadah bukanlah hanya terhad kepada Rukun Islam yang lima antaranya sembahyang lima waktu dan puasa di bulan Ramadhan. Bahkan pada hakikatnya, tugas dan tanggungjawab harian yang ditanai juga merupakan satu ibadah, yang sudah pasti dosa dan pahala akan ditimbang tara. Selaku umat Islam kita harus lebih peka akan kepentingan sifat amanah, ikhlas dan jujur dalam menjalankan tugas seharian bagi merebut kejayaan sebenar iaitu keredhaan dan keberkatan dari Allah S.W.T.
Akhir kata dari Peramba saya serta keluarga, ingin mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa kepada seluruh warga TLDB. Laksanakan tugas dengan penuh tanggungjawab, amanah dan dedikasi. Semoga ibadah kali ini akan membawa peningkatan yang lebih baik serta mendapat keampunan dan diberikan keberkatan kepada kita semua. Amin.