LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI

Alhamdulillah, dipanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan izin dan limpah rahmatnya jua kita semua dapat meraikan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Brunei yang ke-53 tahun pada 14 Jun 2018 yang jatuh pada bulan Ramadhan, bulan yang penuh dengan keberkatan.

Dalam menjangkau usia ke 53 tahun ini Tentera Laut Diraja Brunei telah berkembang dengan lebih maju dan menunjukkan kematangan yang sedia berdaya saing dengan angkatan tentera laut serantau melalui penglibatan Tentera Laut Diraja Brunei dalam pelbagai eksesais dan deploimen yang telah dilaksanakan. Perkembangan bukan hanya diukur dari peralatan canggih tetapi juga dari aspek pembangunan keupayaan warga tentera laut agar lebih berfikiran dinamik dan matang, berilmu pengetahuan, profesionalisme dan mempunyai ketahanan jati diri serta disiplin yang tinggi.

Ini adalah sejajar dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB yang ke 55 tahun:

‘Manakala kekuatan sesebuah negara itu bukan sahaja memiliki peralatan canggih, tetapi juga dapat dinilai sekira negara tersebut memiliki tentera yang berkualiti dari segi fizikal dan mental lebih-lebih lagi jika berkemahiran menggunakan senjata-senjata moden.’

Dengan adanya kepakaran-kepakaran ini, warga tentera akan sentiasa menanamkan sikap berwaspada dan berpandangan jauh terhadap masa depan pertahanan dan keselamatan negara. Namun begitu, kita jangan lupa tanggungjawab kita kepada Allah SWT dan sentiasa meningkatkan ketaqwaan, keimanan, kesabaran dan menaburkan bakti demi raja dan negara.

Dalam usia 53 tahun ini, TLDB telah banyak memberikan komitmen dan pengorbanan yang telah ditaburkan sama ada dari segi tenaga dan masa, antaranya pengorbanan berjauhan daripada keluarga yang dicintai. Namun, perlulah diingat bahawa ianya merupakan suatu pengorbanan yang bermakna dan menjadi sebagai pemangkin mutu kerjaya yang lebih maju. Namun demikian, keseimbangan terhadap kerja dan keluarga hendaklah dijaga dan dimanfaatkan sepenuhnya. Dengan perancangan sambutan tahun ini ditahap yang minima dan sederhana, kita hendaklah sentiasa melangkah maju terus ke hadapan.

Di kesempatan ini, peramba saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Brunei yang ke 53 tahun kepada semua warga Tentera Laut Diraja Brunei, semoga sentiasa berada di bawah perlindungan dan petunjuk Allah S.W.T jua. Amin Ya Rabbalalamin.