​                                

LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI

 

Dengan rasa penuh bersyukur kehadrat Allah Subhanahu Wataala, Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita nabi Muhammad SAW, Alhamdulillah dengan izin dan limpah rahmatnya jua sedikit masa sahaja lagi kita akan menyambut hari lebaran Aidil Fitri, hari kemenangan setelah menunaikan perintah Allah Subhanahu Wataala, melawan musuh besar iaitu hawa nafsu.

Kita harus bersyukur kerana dapat menyambut detik kemenangan ini dalam suasana aman damai dilimpahi kemakmuran. Jika dilihat di luar sana masih banyak saudara muslimin muslimah kita yang kurang bernasib baik kerana ketidakstabilan. Keamanan dan kemakmukran yang kita lalui ini adalah berkat doa dan usaha semua pihak, termasuklah pengorbanan seluruh warga dan keluarga ABDB khususnya TLDB yang bertugas tidak mengira waktu dan tempat dikejauhan keluarga dan keselesaan kehidupan harian.

Di dalam keghairahan kita menyambut hari lebaran ini, janganlah pula kita lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Sebagai tanda ehsan dan bersyukur kita hulurkanlah bantuan atau sumbangan kepada anak-anak yatim, yang kurang upaya dan yang memerlukan, kerana mereka juga adalah merupakan tanggungjawab kita. Ambillah kesempatan lebaran ini mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan persahabatan yang terjalin, bertemu dengan kaum keluarga serta sahabat handai dan bermaaf-maafan melupakanlah perselisihan yang ada.

Peramba saya juga ingin mengingatkan kepada semua bagi sama-sama untuk kita saling mengingati dan tidak leka dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan diri, keluarga dan masyarakat. Bagi yang tinggal di dalam perkhemahan supaya sentiasa menjaga keselamatan kediaman rumah masing-masing dan tidak meninggalkan barang yang berharga. Elakkan daripada terlibat dengan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang. Sambutlah Hari Raya pada tahun ini dengan kesederhanaan dan elakkan sebarang pembaziran.

Di akhir kata, Peramba saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Aidil Fitri, Mohon Maaf Zahir dan Batin, kepada seluruh warga dan mantan TLDB beserta keluarga semoga hari kemenangan ini dapat kita raikan dengan penuh makna dan sentiasa di dalam keredhaan Allah SWT jua.

Kian Berlabuh Tirai Ramadhan,
Lambaian Syawal Kian dinanti
Setulus Hati dipohon Kemaafan
Semoga Kesalahan Turut Dimaafi

Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin, Wassalam.