
LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD
PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI

Marhaban Ya Ramadhan, segala puji dan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT, selawat serta salam kepada junjungan besar kita Nabi Muhamad SAW, dengan izin dan limpah rahmat Allah SWT jua kita akan bertemu lagi Ramadhan, bulan penuh rahmat dan keberkatan.
Alhamdullilah, di bulan keampunan dan penuh keberkatan ini terlalu banyak peluang yang boleh kita manfaatkan meraih keampunan dan keredaannya Allah SWT. Tambahan selaku warga ABDB kita amat beruntung, acara keagamaan turut dirancang di surau-surau atau balai ibadat yang ada, memberi peluang serta kemudahan bagi para anggota yang bertugas dan berada di dalam perhemahan bagi sama-sama merebut peluang yang ada disebalik tugas harian. Di kesempatan ini Peramba saya amat mengalu-alukan seluruh warga Tentera Laut Diraja Brunei beserta keluarga untuk sama-sama mengimarahkan surau perkhemahan yang ada. Peramba saya juga mengetahui perkara sama juga bakal dilaksanakan seperti lazimnya di kapal-kapal yang melaksanakan operasi.
Bertugas selaku seorang anggota Tentera Laut banyak cabaran fizikal dan mental yang dihadapi, berjauhan dari keluarga, ombak badai dan keletihan sudah menjadi asam garam harian. Apapun, Peramba saya mengingatkan semua dan diri sendiri agar tidak mencuaikan perlaksanakan amal ibadah di bulan ini, janganlah cabaran di lapangan tugasan atau operasi dijadikan alasan selagi kita mampu dan tidak membawa kemudaratan. Perlu juga diingat takrif ibadah bukanlah hanya terhad pada rukun seperti solat dan berpuasa sahaja, bahkan pada hakikatnya tugas dan tanggungjawab harian yang ditanai juga merupakan satu ibadah, yang sudah pasti dosa dan pahalanya ditimbang tara. Selaku umat Islam kita harus lebih peka akan kepentingan sifat amanah, ikhlas dan jujur dalam tugas seharian bagi merebut kejayaan sebenar iaitu keredaan dan keberkatan dari Allah SWT bukan sekadar pangkat atau wang ringgit menjadi buruan.
Akhir kata Peramba saya serta keluarga, dikesempatan ini mengucapkan selamat menunaikan ibadah puasa, kepada seluruh warga dan mantan Tentera Laut Diraja Brunei, berhati-hatilah ketika bertugas laksanakan dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Semoga ibadah kali ini akan membawa peningkatan yang lebih baik serta keampunan dan keberkatan kepada kita semua, Aamiin.