LAKSAMANA PERTAMA PENGIRAN DATO SERI PAHLAWAN NORAZMI BIN PENGIRAN HAJI MUHAMMAD

PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI

 

Alhamdulillah dengan berasa syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia Nya jua kita semua dapat meraikan Sambutan Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Brunei yang ke-52 pada 14 Jun 2017 yang jatuh pada bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Sambutan pada tahun ini adalah ditahap yang minima namun kita semakin maju melangkah terus kehadapan.

Dalam menjangkau usia ke 52 tahun ini Tentera Laut Diraja Brunei telah menunjukkan peningkatan daya saing, duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan angkatan tentera laut negara luar setelah banyak melibatkan diri dengan pelbagai eksesais dan deploimen yang telah dilaksanakan. Apa yang dihasratkan ialah, pembangunan keupayaan tentera dari segi ilmu pengetahuan, profesionalisme dan ketahanan jati diri dan disiplin yang tinggi sebagai warga Tentera Laut Diraja Brunei.

 

Ini adalah sejajar dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia pada semasa Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB yang 54 Tahun ‘Seluruh warga tentera hendaklah memperkukuhkan semangat cintakan institusi, sambil menjaga imej dan nama baik ABDB.’ Dengan adanya elemen-elemen ini, warga tentera akan sentiasa menanamkan sikap waspada dan berpandangan jauh terhadap masa depan pertahanan dan keselamatan negara. Namun begitu, kita jangan lupa tanggungjawab kita kepada Allah SWT supaya kita akan sentiasa memupuk semangat yang kuat, sentiasa bersabar dan berbakti kepada agama,bangsa dan raja.

Dalam usia 52 tahun TLDB ini, telah banyak komitmen yang dilaksanakan yang mana memerlukan pengorbanan tenaga dan masa anggota bersama keluarga yang dicintai, namun perlulah diingat bahawa ianya merupakan suatu pengorbanan yang berbaloi dan dijadikan kenangan. Peramba saya ingin menyarankan agar semua warga TLDB sentiasa bergerak maju dalam kerjaya ini dan meningkatkan profesionalisme kerana kita semua adalah yang terbaik dan kita juga adalah Wira Samudera yang akan menjadi ingatan kepada keluarga, saudara dan sahabat kita.

Di kesempatan ini Peramba saya ingin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Laut Diraja Brunei kepada semua warga Tentera Laut Diraja Brunei yang telah berkhidmat dan akan terus maju pada masa akan datang dan sentiasa berada di bawah naungan dan petunjuk Allah SWT jua, Amin Ya Rabbalalamin.