MUARA, Selasa 7 Oktober 2014 – Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) pada hari ini mengadakan Majlis Ibadah Korban dan Aqiqah bagi memperingati sambutan Hari Raya Aidil Adha bagi tahun 1435 Hijrah / 2014 Masihi. Upacara Penyembelihan bagi Ibadah Korban dan Aqiqah dilaksanakan disebelah pagi bertempat di kawasan Mes Pegawai Waran, Staf Sarjan dan Sarjan TLDB dan sebagai tetamu kehormat bagi menyaksikan perlaksanaan majlis tersebut Timbalan Pemerintah TLDB, Kolonel (L) Pengiran Norazmi bin Pengiran Hj Muhammad.Majlis seterusnya diteruskan dengan Upacara Pengagihan Daging-Daging Korban selepas Sembahyang Fardhu Zuhur berjemaah di Masjid Setia Ali, Pekan Muara. Hadir selaku Tetamu Kehormat pada majlis ini ialah Yang Mulia Pemerintah Tentera Laut, Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Haji Mohd Tamit. Turut hadir ialah Pegawai-pegawai Kanan, Pegawai-pegawai dan anggota-anggota TLDB.
Tahun ini sebanyak empat ekor kerbau dan lima ekor kambing dikorbankan. Daging-daging korban kemudiannya diagih-agihkan kepada Wakil Penghulu Mukim Serasa yang dijemput hadir, anggota-anggota TLDB dan para penerima yang berhak menerimanya.
Selain untuk mengeratkan hubungan silaturahim dikalangan anggota TLDB dan awam, majlis korban ini memberi kesedaran kepada semua umat islam akan menyambut hari ini dengan penuh rasa kesyukuran dalam menuju kearah kehidupan yang penuh dengan keberkatan serta kemakmuran serta memperingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim A.S dalam mentaati perintah Allah S.W.T.




