KUALA LUMPUR, 1 Jun – Kunjungan Hormat Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Yang Mulia Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi bin Pengiran Hj Muhammad ke atas Laksamana Dato’ Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin hari ini dilihat sebagai memperkukuhkan kerjasama serantau dari segi aspek keselamatan maritim serta mengeratkan lagi hubungan persahabatan yang sudah lama wujud di antara kedua-dua negara.

Laksamana Pertama Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi telah bertemu dengan Dato’ Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman di Markas Tentera Laut, Wisma Pertahanan dalam rangka lawatan ulung beliau sejak mengambil alih tampuk pemerintahan TLDB pada 13 Mac 2015. Ketibaan beliau dimulai dengan tabik hormat oleh Kawalan Kehormatan Utama di Dataran Wisma Pertahanan. Selain itu, Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi turut membuat kunjungan hormat ke atas Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato’ Sri Mohd Johari Baharum dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ (Dr.) Hj Zulkifeli Mohd Zin.
Lawatan empat hari sehingga 3 Jun ini merupakan satu inisiatif diplomasi pertahanan yang menyumbang kepada perhubungan dua hala antara Malaysia dan Brunei dan membolehkan kedua-dua angkatan bertukar maklumat dalam isu keselamatan serantau serta meneroka peluang kerjasama baharu. Secara tidak langsung menyokong hala tuju Kementerian Pertahanan melalui teras Diplomasi Pertahanan. Sempena kunjungan ini juga, Pengiran Dato Seri Pahlawan Norazmi dan Dato’ Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman telah menandatangani dokumen Terms of Reference bagi Naval Working Group (NWG) TLDB dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Perbincangan di peringkat NWG boleh meningkatkan tahap kerjasama dua hala TLDM dan TLDB.
Secara keseluruhan, lawatan ini turut memperlihatkan pandangan Malaysia mengenai keselamatan maritim serantau dan persempadanan kawasan bagi kedua-dua negara serta memberikan pandangan alternatif kepada isu-isu semasa dalam meneruskan kesinambungan hubungan yang sedia terjalin.