CAPTAIN HJ OTHMAN BIN HJ SUHAILI@SUHAILY
TIMBALAN PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI
 
Dengan rasa penuh bersyukur kehadrat Allah Subhanahu selawat dan salam keatas junjungan besar kita nabi Muhammad SAW, Alhamdulillah dengan izin dan limpah rahmatnya jua Insya Allah esok atau lusa kita akan menyambut hari lebaran Aidil Fitri, hari kemenangan umat Islam setelah menunaikan perintah Allah Subhanahu Wataala iaitu berpuasa di Bulan Ramadhan.
 
Kita seharusnya bersyukur kerana dapat menyambut detik kemenangan ini dalam suasana aman damai dilimpahi kemakmuran. Jika dilihat di luar sana masih banyak saudara muslimin muslimah kita yang kurang bernasib baik kerana ketidakstabilan negara-negara mereka. Keamanan dan kemakmuran yang kita lalui ini adalah berkat doa dan usaha semua pihak, termasuklah pengorbanan seluruh warga dan keluarga ABDB khususnya TLDB yang bertugas tidak mengira waktu dan tempat di kejauhan keluarga dan keselesaan kehidupan harian.
 
Di dalam keghairahan kita menyambut hari lebaran ini, janganlah pula kita lupa kepada mereka yang kurang bernasib baik. Sebagai tanda ehsan dan bersyukur kita hulurkanlah bantuan atau sumbangan kepada anak-anak yatim, yang kurang upaya dan yang memerlukan, kerana mereka juga adalah merupakan tanggungjawab kita. Bersesuaian dengan peluang yang ada ambillah kesempatan lebaran ini mengukuhkan lagi ikatan kekeluargaan dan persahabatan yang terjalin, ziarah menziarahi kaum keluarga dan sahabat handai, bermaaf-maafan, berhijrah melupakanlah perselisihan yang ada.
 
Di dalam kita sama-sama menyambut Hari Raya ini nanti, saya mengingatkan kepada semua untuk kita sama-sama beringat dan tidak leka menjaga keselamatan samudera raya dan kesejahteraan diri keluarga, masyarakat dan harta benda. Elakkan dari terlibat dengan perkara-perkara yang menyalahi undang-undang atau ajaran Islam. Sambutlah Hari Raya dengan kesederhanaan dan elakkan sebarang pembaziran.
 
Di akhir kata, Peramba saya berserta keluarga sekali lagi ingin mengucapkan selamat menyambut hari Aidil Fitri, maaf zahir dan batin, kepada seluruh warga dan mantan TLDB beserta keluarga dan mendoakan semoga hari kemenangan ini dapat kita raikan dengan penuh makna dan sentiasa di dalam keredhaan Allah SWT jua.
 
Kian Berlabuh Tirai Ramadhan,
Lambaian Syawal Kian dinanti
Serendah Hati memohon Kemaafan
Kesalahan Turut Dimaafi
 
Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir Batin, Wassalam.