Kuala Lumpur, 24 Feb – Majlis makan malam meraikan kedatangan Pemerintah Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB), Yang Dimuliakan Laksamana Pertama Dato Seri Pahlawan Abdul Aziz bin Hj Tamit bersama isteri dan rombongan ke Kuala Lumpur telah diadakan Dewan Tun Sri Lanang , Hotel Royale Chulan.

Majlis ini diadakan bertujuan untuk meraikan beliau bersama rombongan buat kali terakhir sebagai pemimpin tertinggi TLDB kerana beliau akan dilantik sebagai Timbalan Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) tidak lama lagi.
 
Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Hj Jaafar mengucapkan penghargaan terima kasih di atas segala sokongan dan sumbangan terhadap TLDM sepanjang beliau memegang tampok pemerintahan TLDB.
 
YBhg Tan Sri berharap agar kerjasama dua hala akan terus bertambah erat dengan pemerintah TLDB yang baru kelak. Di samping itu juga, YBhg Tan Sri mengucapkan tahniah atas pelantikan Yang Dimuliakan Dato’ Seri sebagai Timbalan Pemerintah ABDB. Semoga terus berjaya dengan perjawatan baru kelak.
 
Bersempena dengan majlis yang penuh bermakna ini, kedua-dua belah pihak telah mengadakan pertukaran cenderahati dan bergambar bersama sebagai tanda penghargaan dan kenang-kenangan. Sebelum mengakhiri majlis makan malam, para tetamu yang diraikan telah dihidangkan dengan buah durian serta beberapa jenis buah tempatan yang lain.
 
Turut hadir bagi memeriahkan majlis tersebut adalah Timbalan Panglima Tentera Laut, YBhg Laksamana Madya Dato’ Seri Panglima Ahmad Kamarulzaman bin Hj Ahmad Badaruddin dan isteri serta pegawai-pegawai tertinggi TLDM bersama isteri.
 
http://www.navy.mil.my/index.php/media-massa/berita/berita-utama/item/1808-pemerintah-tldb-dirai-dalam-majlis-makan-malam