Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Skip Navigation LinksNews Headline

TEKS UCAPAN YANG MULIA PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI BERSEMPENA MENYAMBUT KEDATANGAN BULAN SYAWAL 1441H



LAKSAMANA PERTAMA DATO SERI PAHLAWAN HAJI OTHMAN BIN HAJI SUHAILI @ SUHAILY

PEMERINTAH TENTERA LAUT DIRAJA BRUNEI


Alhamdulillahi Rabbil Alamin Wassalatu Wassalamu ala Saidina Muhammad Wa ala Aalihi Wasohbihi Ajamain.

 

Alhamdulillah bersyukur kita rafa'kan dan panjatkan kepada Allah Subhanahu Wa Taala kerana dengan izin-NYA jua memberikan kita peluang dan kesempatan pada tahun ini 1441H / 2020M untuk sama-sama menerima dan menyambut kedatangan Aidil Fitri yang merupakan hari kemenangan bagi semua umat Islam yang disambut dengan penuh perasaan keimanan, ketakwaan dan kesyukuran yang hakiki.

 

Setelah sebulan kita sama-sama berjuang didalam menahan segala kemahuan, kehendak dan keinginan kita seharian, kini tibanya 01 Syawal yangmana ia adalah hari kita memanjatkan rasa syukur dan meraikan kemenangan setelah berjaya menentang hawa nafsu yang telah disifatkan junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W sebagai jihad terbesar bagi umatnya. Sama-samalah kita berdoa dan berharap semoga Allah menerima ibadah serta amalan kita dan memanjangkan usia kita untuk bertemu Ramadhan akan datang, Insha Allah.

 

Didalam kita meraikan Aidilfitri ini, janganlah kita leka dan menepikan isu keselamatan terutama sekali dengan keadaan pada masa ini, seperti yang kita semua telah maklum, kemunculan wabak COVID-19 memberi kesan yang amat mendalam kepada pembangunan, ekonomi dan juga aktiviti kita seharian. Oleh itu, kita hendaklah sentiasa peka dan berwaspada disepanjang perayaan ini dengan mematuhi undang-undang dan juga peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Negara Brunei Darussalam. Seperti yang kita sudah sedia maklum, sambutan Aidilftri pada tahun ini amat berbeza kerana Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam telah menetapkan larangan untuk berziarah serta berkunjung-kunjungan kepada semua rakyat dan penduduk negara ini disepanjang aidilfitri ini bagi mengekang merebaknya pandemik COVID 19 ini daripada berleluasa. Walaupun ianya sesuatu perubahan yang baru kepada perkara kebiasaan yang kita lakukan, akan tetapi sebagai rakyat yang bertanggungjawab, adalah menjadi tugas kita semua untuk menanai usaha Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam.

 

Dikesempatan ini, saya menyeru kepada semua untuk sentiasa berusaha didalam memperkukuhkan hubungan persaudaraan dengan ikatan kasih sayang kerana Allah SWT. Kekukuhan perhubungan adalah tulang belakang yang penting di dalam sebuah organisasi bagi mengelakkan daripada terjadinya perpecahan dikalangan anggota-anggota.

 

Sesuai dengan Firman Allah SWT di dalam surah al-Imran ayat 103:

 

"Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) dan janganlah kamu

bercerai berai….."

 

Dan Sabda Rasulullah SAW;

 

"Seorang muslim itu adalah saudara bagi seorang muslim (yang lain) tidak boleh

menganiaya dan membiarkannya dianiaya."

 

Didalam kita sama-sama meraikan Aidil Fitri, Peramba / Saya mengingatkan kepada semua untuk tetap melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan jujur lagi amanah kerana Peramba / Saya percaya, kejujuran dan sikap amanah telahpun sebati didalam diri masing-masing setelah menjalani latihan ketaqwaan selama sebulan disepanjang bulan Ramadhan yang telah membawa kepada perubahan yang positif kepada kehidupan kita. Oleh itu, adalah diharapkan keutuhan tahap disiplin ini sentiasa dikekalkan pada sepanjang masa samada semasa bertugas mahupun berada diluar perkhemahan.

 

Disamping itu juga, Peramba / Saya juga menegaskan agar semua warga TLDB akan sentiasa menjaga keutuhan sekuriti dalam semua aspek yang mana tindakan tegas akan diambil jika ada warga TLDB yang melanggar undang-undang awam mahupun tentera bagi menyokong usaha kerajaan didalam mengawal pandemik COVID 19 ini. Juga tidak Peramba / Saya lupakan bagi anggota-anggota TLDB yang akan bertugas semasa perayaan aidilfti nanti, Peramba / Saya dengan tulus ikhlas ingin mengucapkan syabas diatas pengorbanan yang telah dicurahkan

bagi menggalas tugas serta tanggungjawab yang telah diberikan demi menjaga kedaulatan perairan Negara Brunei Darussalam. Ini membuktikan bahawa organisasi ini sentiasa komited didalam mempertahankan keselamatan Negara Brunei Darussalam pada setiap masa.

 

Peramba / Saya juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan kepada diri Peramba /Saya sendiri serta kepada semua warga Tentera Laut Diraja Brunei untuktidak lupa bahawa didalam kita meraikan saat kegembiraan ini, kita hendaklah sentiasa mengingati Allah SWT terutama sekali didalam kehidupan kita sehari-hari berpandukan kepada Al-Quran, sejajar dengan Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Dipertuan Negara Brunei Darussalam Sempena Sambutan Nuzul Al- Quran bagi tahun 1441H/2020M

 

"Marilah kita sama-sama konsisten menghayati do'a dan membaca Al-Quran,

bukan sahaja kerana wabak, tetapi untuk Brunei mendapat lebih keberkatan,

berupa keamanan, kemakmuran dan keselamatan"

 

Akhir sekali, dikesempatan ini Peramba / Saya dan isteri serta ahli keluarga dengan tulus ikhlas menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf diatas segala kesalahan dan kekhilafan kepada seluruh warga Tentera Laut Diraja Brunei dan mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin.

 

Wabillahi Taufiq Wal-Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.